Israel sengaja sasar kanak-kanak tujuan bunuh, cacatkan mereka
Palestin desak perlindungan khas, hentikan kekejaman ke atas penduduk

RAMALLAH, 14 Rabiulawal 1444H, Selasa – Palestin mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi berkaitan untuk memberikan perlindungan khas terhadap kanak-kanak di negara itu.
Desakan itu ditegaskan Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin menerusi sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, Setiausaha Agung Wakil Khas Kanak-Kanak dan Setiausaha Agung Konflik Bersenjata.
“Sejak awal tahun 2022, Israel – kuasa penjajah – sengaja membunuh lebih 44 kanak-kanak dan golongan bawah umur di Palestin.
“Hari ini, Mahmoud Samoudi yang berusia 12 tahun meninggal dunia akibat kecederaannya, selepas tentera penjajah Israel menembaknya secara kejam di perut 12 hari lalu di Jenin,” kata surat itu.
Kementerian berkata, dalam beberapa hari kebelakangan ini sahaja, pengganas Israel telah membunuh lebih lima kanak-kanak dan remaja Palestin termasuk Adel Adel Daud,14; Mahdi Ladadwa, 17; Mahmoud Sous, 17; Fayez Khaled Damdoum, 17 dan Ahmad Dragmeh, 19.
“Tentera Israel sengaja menyasarkan bahagian atas badan mereka, dan menggunakan dasar menembak untuk membunuh yang mengakibatkan kematian ratusan kanak-kanak Palestin.
“Jenayah yang mengerikan ini berlaku beberapa hari selepas pembunuhan Rayan Suleiman berusia 7 tahun oleh tentera penjajah Israel,” katanya.
Surat itu menegaskan bahawa Israel sengaja menyasarkan kanak-kanak Palestin dengan tujuan membunuh dan mencacatkan mereka, yang sekali gus menafikan hak untuk hidup.
“Negara Palestin memberi amaran bahawa jenayah Israel yang semakin meningkat dan sasaran yang disengajakan terhadap kanak-kanak akan berterusan tanpa henti jika akauntabiliti tidak dilaksanakan dengan segera dan berkesan.
“Justeru, Palestin menyeru Setiausaha Agung untuk memasukkan Israel ke dalam senarai yang memalukan kerana pencabulan sistematiknya terhadap kanak-kanak negara ini.
“Kanak-kanak Palestin berhak atas hak asasi mereka, perlindungan, kesihatan, maruah dan keamanan. Mereka juga tak terkecuali daripada peraturan global ini,” katanya.- Agensi