Berita Utama

Komponen GTA setuju guna nama, logo Pejuang untuk PRU15

Tun M umum pertahan kerusi Langkawi sebagai calon MP

PUTRAJAYA, 14 Rabiulawal 1444H, Selasa – Parti-parti komponen Gerakan Tanah Air (GTA) bersetuju untuk menggunakan nama, logo dan bendera Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat susulan penubuhan gerakan berkenaan masih belum mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), sementara Parlimen sudah pun dibubarkan.

Beliau berkata, meskipun penubuhan itu diluluskan dalam masa terdekat, parti-parti komponen masih tidak boleh bertanding sebagai GTA.

“Sebab itu, kita telah buat keputusan hari ini iaitu kita akan bertanding dengan nama Pejuang dengan menggunakan simbol dan bendera Pejuang.

“Semua yang bersetuju dengan GTA akan bertanding dengan nama Pejuang, melainkan di Kelantan kerana Putra akan bertanding di Kelantan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, agihan kawasan dan senarai calon akan diputuskan oleh setiap presiden parti termasuk orang perseorangan yang menggantikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bekas Perdana Menteri itu turut mengesahkan akan mempertahankan kerusi P004 Langkawi pada PRU15 nanti.

“Kita buat keputusan iaitu di Langkawi yang mana calonnya adalah Dr Mahathir Mohamad.

“Tetapi bukan sebagai calon bakal Perdana Menteri, sebagai calon wakil rakyat sahaja. Kita tidak tentukan siapa yang akan jadi Perdana Menteri, kerana calon itu relevan kalau kita menang sahaja,” katanya.

Pada masa sama, gerakan itu juga bersetuju untuk mempertimbangkan mengenai kemungkinan bekerjasama dengan parti-parti yang ‘sebulu’, tanpa menyebut secara jelas namanya.

“Kita sanggup bekerjasama kalau mereka ingin selamatkan negara kita ini daripada pemerintahan UMNO.

“Kerana kita dapati UMNO adalah sebuah parti yang tidak sama sekali mengambil berat tentang masalah rakyat, yang mereka nak ialah untuk jadi Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya.

Penubuhan GTA yang diumumkan Dr Mahathir pada Ogos lalu dianggotai empat parti iaitu Pejuang, BERJASA, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Bahkan, gerakan itu juga terbuka kepada NGO, orang perseorangan, ahli akademik serta golongan profesional dalam kalangan Melayu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button