Berita Utama

PAS tetap cari jalan bekerjasama dengan UMNO

Pintu rundingan masih dibuka untuk satukan ummah

BANGI, 14 Rabiulawal 1444H, Selasa – PAS masih kekal mencari jalan untuk terus bekerjasama dengan UMNO walaupun sehingga kini tidak memenuhi syarat yang diberikan.

Malah, pintu rundingan masih dibuka sehingga kini bagi menyatukan ummah antara UMNO dan PAS serta parti Pribumi Bersatu malaysia (Bersatu), tegas Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Kita masih mencuba, tidak tutup pintu, kalau tengok kenyataan terakhir daripada PAS pun menuju kepada penyatuan ummah.

“Sebab kita rasa tidak boleh berputus asa sehingga ke titik terakhir,” katanya, hari ini.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tetap meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan ‘komitmen’ ketiga-tiga parti teras Melayu seterusnya menjamin kestabilan politik negara.

PAS berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan dengan pihak UMNO dan Bersatu, termasuk berhubung syarat-syarat yang dikemukakan serta rundingan kerusi sedang diusahakan.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menetapkan tiga syarat utama kepada PAS sekiranya mahu bekerjasa dengan partinya.

Antaranya, perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.

Ahmad Zahid juga menjelaskan, PAS juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu sekiranya bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan partinya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button