Dunia

Sijil vaksinasi COVID-19 palsu dijual di Mexico

Pelanggan boleh beli pada harga antara RM231 hingga RM420

MEXICO CITY, 7 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Bukan hanya terdapat vaksin tiruan, kini muncul pula sijil imunisasi COVID-19 palsu yang ditawarkan untuk dijual di ibu negara Mexico, bagi individu melakukan perjalanan ke negara-negara yang memerlukan bukti vaksinasi. 

Difahamkan, sijil vaksinasi COVID-19 palsu itu dijual kepada mereka yang ingin melakukan perjalanan tetapi belum mendapatkan imunisasi sepenuhnya, atau menerima vaksin yang tidak diiktiraf oleh negara tertentu. 

Menurut sumber yang dikenali sebagai Chris, jenis vaksin yang diterima pelanggan boleh diubah jika negara yang dilawati tidak mengiktirafnya.

“Sekiranya mereka diberi vaksin daripada pengeluar China, di sini kita boleh mengubahnya menjadi Pfizer atau Sputnik V,” katanya. 

Katanya lagi, pemalsuan sijil vaksinasi berkenaan dijual kepada pelanggan dengan harga antara AS$55 (RM231) hingga AS$100 (RM420), dan boleh diterima terus dalam tempoh dua jam. 

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Mexico mengumumkan bahawa individu yang telah divaksinasi boleh memuat turun sijil imunisasi secara percuma melalui laman web rasmi bagi kegunaan perjalanan atau situasi tertentu. 

Kira-kira 21 juta individu telah menerima vaksinasi sepenuhnya di Mexico, menerusi suntikan Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSino, Sputnik V dan Johnson & Johnson. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button