Berita Utama

Pusat kajian Melayu ditubuhkan di University of Dhaka

Langkah penting untuk memperkukuh hubungan dua hala

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulawal 1444H, Selasa – Pusat Pengajian Melayu dibuka di University of Dhaka (UoD), Bangladesh.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dalam kenyataan hari ini berkata Memorandum Persefahaman bagi penubuhan pusat itu, hasil kerjasama antara Univesiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan UoD, ditandatangani pada 10 Okt di UoD.

Majlis pemeteraian itu disaksikan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Haznah Md Hashim manakala Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan Profesor Dr. Md. Akhtaruzzaman, Naib Canselor University of Dhaka menandatangani perjanjian itu bagi pihak universiti masing-masing.

Penubuhan Pusat Pengajian Melayu di UoD merupakan langkah penting untuk memperkukuh hubungan dua hala bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan Bangladesh,

Malaysia menikmati hubungan dua hala yang rapat dengan Bangladesh dan Malaysia merupakan negara majoriti Islam pertama mengiktiraf kemerdekaan Bangladesh pada 1971 diikuti hubungan diplomatik pada 31 Jan, 1972.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia telah memberi dorongan kuat terhadap penubuhan Pusat Pengajian Melayu bagi memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa melalui diplomasi budaya.

“Pusat itu juga akan mengetengahkan keunikan budaya dan tradisi Melayu yang unik selain pendidikan berkualiti tinggi Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Bahasa Melayu pernah menjadi Lingua Franca yang dipertuturkan secara meluas dalam urusan perdagangan dan diplomasi pada masa lampau.

Kini Bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan kira-kira 300 juta pendduk di Asia Tenggara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button