Berita Utama

UMNO kalah PRU15 jika pengundi tolak wang sogok: Tun M

'Perjuangan saya bukan untuk parti, tapi nasib orang Melayu'

BANGI, 14 Rabiulawal 1444H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad yakin UMNO akan kalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya pengundi menolak wang yang disogok daripada parti itu.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu tampil menyatakan demikian susulan menjelaskan kenyataan yang telah disalah tafsir oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung ramalan kemenangan UMNO untuk PRU15 sebelum ini.

Ahmad Zahid mendakwa, ramalan Dr Mahathir bahawa UMNO akan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan sesuatu yang mengejutkan kerana semua pihak kawan mahupun lawan sememangnya menjangkakan sedemikian.

“Zahid kata saya kata UMNO akan menang, tetapi dia tidak teruskan apa yang menyusul kenyataan itu.

“Saya cuma kata, UMNO akan menang kerana mereka akan sogok wang kepada pengundi. Jadi, kali ini kalau pengundi menolak wang daripada UMNO, UMNO tidak akan menang,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Dr Mahathir yakin bahawa pengundi sekarang sedar akan keburukan UMNO dan mereka tidak akan mengundi parti itu pada PRU nanti.

“Dan kenyataan saya ialah UMNO akan kalah. Saya telah tekankan bahawa perjuangan saya bukan untuk parti, tetapi untuk nasib dan masa depan orang Melayu.

“Kalau parti lari daripada dasar untuk memelihara orang Melayu, saya tak sokong. Sebab itu saya keluar daripada UMNO kerana UMNO telah menyeleweng,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button