Wanita tak wajib lagi bersama mahram ke Tanah Suci
Jemaah kini boleh tunai umrah dengan sebarang jenis visa

RIYADH, 14 Rabiulawal 1444H, Selasa – Wanita yang ingin ke Arab Saudi bagi tujuan menunaikan ibadah haji dan umrah kini tidak lagi diwajibkan bersama mahram untuk menemani mereka.
Penarikan dasar itu diumumkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah menerusi sidang media di Kedutaan Arab Saudi di Kaherah, semalam.
Dr Tawfiq berkata, kos pembesaran Masjidi Haram di Makkah telah melebihi SR200 bilion dan ia adalah yang terbesar pernah dilakukan dalam sejarah masjid itu.
Beliau turut memaklumkan, tiada kuota atau siling untuk jumlah visa umrah yang dikeluarkan untuk umat Islam dari seluruh dunia.
“Mana-mana orang Islam yang datang ke Arab Saudi dengan apa-apa jenis visa boleh menunaikan umrah,” katanya.
Dr Tawfiq turut menegaskan kesungguhan Arab Saudi mengurangkan kos mengerjakan haji dan umrah namun ia berkait dengan beberapa faktor.
Beliau merujuk usaha kerajaan berhubung pengenalan dan penggunaan teknologi moden serta pendigitalan perkhidmatan yang disediakan kementerian kepada mereka yang melawat Tanah Suci.
“Ini termasuk menggunakan robot untuk menyediakan beberapa perkhidmatan kepada jemaah haji, serta membangunkan platform Nusk, yang menyediakan banyak kemudahan untuk jemaah dan pengunjung Masjidil Haram.
“Boleh menempah permit umrah melalui platform dalam tempoh yang singkat, dan selepas itu, visa boleh diperolehi dalam tempoh 24 jam,” katanya.- Agensi