Berita Utama

12 menteri utus warkah kepada Agong, UMNO dakwa PN mahu aibkan PM

Tindakan berniat jahat, musuh aibkan Perdana Menteri dari BN

BANGI, 15 Rabiulawal 1444H, Rabu – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong supaya tidak memperkenankan pembubaran Parlimen sebagai sengaja mengaibkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, jika tidak bersetuju dengan pembubaran Dewan Rakyat, ia boleh dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tanpa perlu menghantar surat kepada Istana Negara selain dihebahkan kepada umum.

“Ternyata tindakan ini adalah niat jahat, musuh BN untuk mengaibkan Perdana Menteri dari BN,” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menafikan tindakan berkenaan punca Perdana Menteri terpaksa membubarkan Parlimen.

Kata Ahmad Zahid lagi, tindakan menteri PN menghantar surat itu bukanlah satu-satunya sebab berlaku pembubaran Parlimen.

Sebaliknya, beliau menegaskan, terdapat banyak lagi perkara yang mencetuskan kepada pembubaran Parlimen.

“Parti beliau (Muhyiddin) juga menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dan mendedahkan perjanjian persefahaman beliau, sedangkan Bersatu sudah ada jawatan menteri kanan, menteri-menteri dan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Tuntutan jawatan tersebut tidak sensitif dengan situasi pemulihan ekonomi negara dan dasar jimat cermat negara.

“Sebaliknya Bersatu asyik memikirkan mengenai jawatan, pangkat dan kedudukan sahaja,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button