Berita Utama

Dominasi politik golongan majoriti bukan rasis: PAS

Perpaduan jadi mudah jika parti Melayu-Islam, Bumiputera berlapang dada

BANGI, 15 Rabiulawal 1444H, Rabu – Konsep dominasi politik oleh golongan majoriti dalam sesebuah negara bukanlah sesuatu yang berbentuk rasis dan tidak adil.

Sebaliknya, ia merupakan lumrah penerimaan umum di mana-mana negara di dunia ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS melahirkan keyakinan usaha untuk menjayakan gagasan perpaduan akan menjadi mudah dicapai sekiranya semua parti-parti utama Melayu-Islam dan Bumiputera dapat berlapang dada.

“Semua parti terbabit perlu berjiwa besar dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ini dengan melihat kepentingan yang lebih besar iaitu kestabilan negara dan kebahagiaan rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Takiyuddin dalam pada itu menyeru kepada seluruh jentera pilihan raya PAS supaya bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi PRU15 yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Tegas beliau, sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam, seluruh pimpinan, ahli serta penyokong PAS juga dikehendaki terus menjaga adab dan kesopanan seperti mana diajar oleh agama Islam.

“Ini termasuk dalam segala hantaran (posting) mahupun artikel di media sosial yang boleh menimbulkan kebencian dan fitnah memfitnah termasuk terhadap lawan politik wajib dielakkan,” katanya.

Beliau pada masa sama turut mengingatkan, Perlembagaan PAS menetapkan semua ahli-ahli antara lainnya perlu sepanjang masa mengamal akhlak Islam.

Selain sentiasa mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button