Berita Utama

ISMA promosi peradaban Ummah Fadhilah sempena 25 tahun penubuhan

Masyarakat tunduk sepenuhnya kepada apa yang Allah SWT kehendaki

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 15 Rabiulawal 1444H, Rabu – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berhasrat, mempromosikan Ummah Fadhilah sempena 25 tahun penubuhannya yang bertemakan ‘Bersama Membangun Peradaban’.

Ia merangkumi kriteria dan ciri-ciri tertentu antaranya umat bersifat Rabbani yang bermaksud himpunan manusia tunduk kepada Allah SWT.

Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni menjelaskan, falsafah itu amat berbeza dengan Barat yang mempromosikan humanisme iaitu menjadikan kehendak manusia sebagai kehendak tertinggi.

“Dalam Ummah Fadhilah, masyarakat tunduk sepenuhnya kepada apa yang Allah SWT kehendaki. Itu ciri utama yang mesti ada.

“Antara ciri lain kita gambarkan adalah satu ummah yang mempunyai ilmu dan teknologi yang tinggi. Maknanya ummah yang bangun di atas ilmu dan teknologi bukannya mundur. Kita tidak mahu Ummah Fadhilah hampir kepada Allah tetapi mundur,” katanya dalam temu bual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Selain itu, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, ciri lain dimaksudkan dengan Ummah Fadhilah ialah satu ummah mempunyai sifat mandiri tinggi, dengan erti kata mampu berdiri dan menggunakan sumber yang ada untuk membangunkan negara tanpa perlu bergantung kepada pihak luar.

Katanya, dengan sifat mandiri tinggi ini, ia akan menjadi satu masyarakat dan negara yang tidak boleh diperkotak-katikkan oleh negara-negara luar.

“Sekarang banyak perkara yang berlaku di Malaysia kita diperkotak-katikkan polisi-polisi luar dengan mudah masuk kerana sifat mandiri yang ada pada ummah tidak begitu tinggi.

“Kita juga berharap supaya Ummah Fadhilah ini bila ada dalam masyarakat kita, mereka mampu pertahankan jati diri, maruah dan masa depannya,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden ISMA berkata, cabaran besar dalam membangunkan Ummah Fadhilah di Malaysia ialah negara terlalu rapuh dalam membentuk visi dan misi masa depan.

Katanya, jika dibandingkan visi dan misi negara luar akan mendapati cita-cita negara ini terlalu rendah.

“Dalam masalah negara kita dengan ketidakstabilan politik dan seumpamanya kita terlalu meletakkan visi, misi kita terlalu rendah akhirnya masyarakat juga akan terpengaruh dan segala polisi akan menjadi tidak kuat.

“Daripada situ akhirnya kita tidak mampu menggunakan sumber untuk membangunkan negara sebaiknya dan masyarakat. Kita juga tidak mampu menangkis serangan luar sebab kita suka mengambil sikap berkecuali, menuruti sahaja, berdamai dan seumpamanya,” katanya.

Pautan Dimensi;
https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/3301129893459339

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button