Berita UtamaDunia

Protes Mahsa Amini: 108 terkorban sepanjang tiga minggu

Kumpulan hak asasi suarakan kebimbangan keadaan semakin tegang

TEHRAN, 15 Rabiulawal 1444H, Rabu – Kira-kira 108 orang terkorban dalam tindakan kekerasan Iran berikutan protes terhadap kematian Mahsa Amini yang tercetus lebih tiga minggu lalu di seluruh negara.

Protes terhadap kematian wanita Iran yang berusia 22 tahun itu berlaku selepas dia didakwa dipukul polis ketika dalam tahanan akibat kesalahan pemakaian tudung dan didakwa melanggar kod pakaian ketat untuk wanita Islam.

Kumpulan hak asasi manusia Iran (IHR) mendakwa, pasukan keselamatan Iran membunuh sekurang-kurangnya 93 lagi orang dalam pertempuran berasingan di bandar Zahedan, wilayah tenggara Sistan-Baluchistan.

Protes meletus sehingga ke seluruh Iran selepas Mahsa meninggal dunia.

Terdahulu, wanita malang itu dilaporkan koma selepas didakwa dipukul oleh pihak berkuasa semasa dalam tahanan.

Keganasan di Zahedan berlaku pada 30 September lalu ketika protes tercetus ekoran kemarahan orang ramai berhubung laporan seorang remaja perempuan dirogol oleh komander polis di wilayah itu.

Polis Iran bagaimanapun menolak dakwaan terhadap Mahsa sebaliknya menjelaskan wanita tersebut jatuh sakit.

Kumpulan hak asasi itu juga menyuarakan kebimbangan mengenai tahap tindakan keras di Sanandaj, ibu kota wilayah asal Mahsa di Kurdistan di barat Iran.

Sementara itu, IHR yang berpangkalan di Oslo memaklumkan, setakat ini, sebanyak 28 kes kematian dilaporkan di wilayah Mazandaran, 14 kes di Kurdistan, 12 kes di Gilan dan Azerbaijan Barat dan 11 kes di wilayah Tehran.

Kumpulan hak asasi itu turut mendakwa pasukan keselamatan Iran menahan ramai kanak-kanak yang membuat bantahan di jalanan dan di sekolah pada minggu lalu. – Agensi

Pautan berkaitan;

Kes Mahsa Amini: Sembilan rakyat Eropah ditahan dalam protes jalanan di Iran

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button