Berita Utama

PRU15: PEMBELA sokong calon perjuang agenda ABATA

Tidak terbabit dengan aktiviti Gagasan Bangsa, kekal non-partisan

BANGI, 15 Rabiulawal 1444H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) akan terus memperjuangkan agenda agama, bangsa dan tanah air (ABATA) serta hak sah rakyat Malaysia, selain isu antarabangsa bagi memastikan semua hak yang benar dapat ditegakkan.

Atas dasar itu, PEMBELA berpendirian menyokong mana-mana calon yang memperjuangkan agenda ABATA tanpa mengira parti politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun Pengerusinya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, penglibatan bekas Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahya dalam Gagasan Bangsa (GB) tidak mewakili pendirian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam prinsip non-partisan yang telah menjadi dasar mereka.

Katanya, walaupun terkejut dengan peletakan jawatan Aminuddin dan penyertaan dalam GB, PEMBELA menghormati keputusan peribadi tersebut.

“Namun ianya tidak selari dengan dasar PEMBELA yang bersifat non-partisan.

“PEMBELA tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti Gagasan Bangsa yang baru dilancarkan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebagai sebuah wadah yang bergerak dengan prinsip menghormati keputusan syura, PEMBELA akan kekal memainkan peranan semak dan imbang kepada ketiga-tiga cabang legislatif, eksekutif serta judisiari negara tanpa terlibat di dalam mana-mana parti politik.

“PEMBELA juga akan mengumumkan struktur baru kepimpinan PEMBELA dalam tempoh terdekat.

“PEMBELA menyeru kepada semua yang bersama dengan perjuangan PEMBELA ini tidak terkeliru dengan perkembangan-perkembangan baru yang sedang berlaku ketika ini dan kekal bersama menyokong perjuangan PEMBELA.

“PEMBELA akan terus menegur mana-mana pemimpin, individu, organisasi atau badan sekiranya mereka tersasar dari perjuangan menegakkan ABATA tanpa mengira blok politik mereka,” katanya.

Terdahulu, Aminuddin mengorak langkah menyertai GB atas dasar mahukan perjuangan dalam skop lebih luas.

Gerakan yang menjaga kepentingan rakyat itu diterajui gabungan pemimpin-pemimpin Melayu daripada pelbagai latar belakang yang prihatin terhadap isu negara.

Ia adalah gabungan NGO-NGO dari seluruh Malaysia dengan pelbagai latar belakang baik dari NGO Melayu, ahli akademik, agamawan, alam sekitar, profesional (peguam, dokor), kesenian, bekas pegawai kerajaan dan pelbagai lagi yang prihatin terhadap isu negara dan apa yang dihadapi oleh rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button