Berita Utama

Bersatu pertimbang kerjasama dengan Pejuang demi berdepan UMNO

Pernah dibincangkan sebelum ini tapi tiada keputusan lanjut

BANGI,16 Rabiulawal 1444H, Khamis – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan, kesediaan untuk mempertimbangkan kerjasama politik dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk berdepan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu boleh dilaksanakan sekiranya Pejuang serius mengenai hal ini, tegas Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada pihak yang saling berhubung bagi membincangkan lebih lanjut perihal tersebut.

“Kita bersedia mempertimbangkan dan ia perlu dibawa ke majlis tertinggi untuk diputuskan.

“Saya kurang pasti sama ada serius atau tidak cadangan itu lagipun kita sudah berada dalam fasa persiapan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Muhyiddin menambah, sebelum ini perkara itu pernah dibincangkan namun terhenti tanpa keputusan lanjut.

“Awal dahulu pun pernah bincang, lepas itu tak jadi apa,” katanya lagi ketika merasmikan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15.

“Kita sudah siap sedia,” katanya.

Semalam, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk menjalinkan kerjasama dengan parti-parti politik ‘sebulu’ dengan parti itu bagi menentang UMNO.

Tegas beliau, langkah berkenaan dibuat untuk menyelamatkan negara daripada pemerintahan UMNO.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button