Dunia

Kes cacar monyet global kini cecah 70,000: WHO

Pantau trend, tingkat kapasiti saringan di banyak negara

GENEVA, 16 Rabiulawal 1444H, Khamis – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengulangi amaran terhadap penularan wabak cacar monyet yang kini sudah mencecah 70,000 kes di seluruh dunia.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, jumlah kes minggu lalu semakin meningkat di beberapa negara, namun menekankan penurunan kes baharu di peringkat global mungkin lebih berbahaya kepada penularan wabak itu.

Katanya, lebih 70,000 kes kini telah dilaporkan kepada agensi kesihatan itu setakat tahun ini, termasuk dengan 26 kematian.

“Secara global, kes terus menurun tetapi 21 negara pada minggu lalu melaporkan peningkatan kes, kebanyakannya di Amerika yang menyumbang hampir 90 peratus daripada semua kes yang dilaporkan minggu lalu.

“Wabak yang semakin berkurangan boleh menjadi wabak paling berbahaya, kerana ia boleh mendorong kita untuk berfikir bahawa krisis itu telah berakhir,” katanya pada sidang akhbar di Geneva.

Tedros berkata, WHO sedang bekerjasama dengan banyak negara untuk meningkatkan kapasiti saringan mereka dan memantau trend wabak.

“Kita bimbang mengenai laporan kes di Sudan, termasuk di kem pelarian berhampiran sempadan dengan Ethiopia.

“Seperti COVID-19, cacar monyet kekal sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa, dan WHO akan terus mengambil langkah itu,” katanya.

Peningkatan kes jangkitan cacar monyet telah dilaporkan sejak awal Mei di mana majoritinya dikesan dalam kalangan lelaki yang terbabit hubungan seks sejenis.

Lebih 42,000 kes kini telah dilaporkan dari Amerika dan hampir 25,000 dari Eropah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button