Berita Utama

PAS pilih Bersatu, kukuh kerjasama dalam PN

Kekal pendirian untuk tak bubar DUN di tiga negeri: Hadi Awang

BANGI, 16 Rabiulawal 1444H, Khamis – Impian PAS untuk menyaksikan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah panji penyatuan ummah tidak kesampaian, apabila parti itu akhirnya memutuskan kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

PAS hari ini mengumumkan untuk terus memperkukuh kerjasama dalam PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang didakwanya atas prinsip penyatuan ummah.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu diputuskan parti berkenaan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan hari ini.

Keputusan mesyuarat PAS itu sekali gus menjawab pendirian parti itu sama ada mahu bersama Bersatu atau UMNO.

Sebelum ini, UMNO memberi kata dua kepada PAS sekiranya mahu meneruskan hasrat bekerjasama politik dengan parti itu untuk menghadapi PRU15 tidak lama lagi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menetapkan, tiga syarat utama kepada PAS iaitu keluar daripada PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengisytiharkan secara rasmi sudah berpisah dengan PN serta Bersatu.

Abdul Hadi dalam kenyataan berkata, mesyuarat jawtaankuasa parti juga memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN.

“Senarai calon daripada negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama.

“Mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button