Berita Utama

SPR disaran letak tarikh mengundi Sabtu, elak ganggu operasi sekolah

'Secara umum pilihan raya dibuat pada cuti hari minggu': Radzi

BANGI,16 Rabiulawal 1444H, Khamis – Kementerian Pendidikan (KPM) mencadangkan, supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada hari cuti khususnya Sabtu bagi mengelak operasi sekolah terganggu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, jangkaan hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung bukan pada musim cuti persekolahan, jadi banyak bilik darjah dan ruangan di sekolah digunakan sebagai saluran tempat mengundi.

“Secara umum pilihan raya dibuat pada cuti hari minggu. Kita berharap begitulah untuk kali ini supaya tidak menjejaskan operasi sekolah.

“Buat Sabtu itu bagi memudahkan. Kalau Ahad lain pula, ada negeri bersekolah hari itu.

“Tapi kita tak tahu tarikh yang akan ditetapkan SPR. Apa yang penting, kalau operasinya pada Sabtu, ini adalah perkara yang kita sudah lalui seperti pilihan raya sebelum ini. Kalau hari bersekolah, operasi sekolah akan terjejas pada hari itu,” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Kelmarin, SPR dalam kenyataan memaklumkan, akan mengadakan mesyuarat pada 20 Oktober ini bagi menentukan tarikh penting bagi PRU15 termasuk hari penamaan calon, pengundian awal serta hari mengundi.

Radzi pada masa sama berkata, KPM telah mengadakan perbincangan dengan SPR berkenaan penggunaan sekolah, tetapi tidak membabitkan penggunaan pada hari bersekolah.

“Perlu diingat SPR untuk menyediakan tempat ini juga bukan sehari. Penyediaan tempat mungkin akan ambil masa sehari sebelumnya.

“Sebab itu, kalau ia diadakan pada Sabtu memudahkan semua orang, termasuk pihak sekolah dan ibu bapa,” terang beliau.

Beliau turut berharap supaya SPR meneliti sebelum memutuskan dalam membuat pemilihan tarikh-tarikh penting berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button