Dunia

12 kanak-kanak antara 17 korban kebakaran bas di Pakistan

Kebakaran dipercayai berpunca dari litar pintas penghawa dingin

KARACHI, 17 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Seramai 12 kanak-kanak antara 17 orang yang maut dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah bas membawa mangsa banjir dari Karachi ke wilayah Sindh selatan Pakistan.

Kesemua 80 penumpang bas itu adalah mangsa banjir yang ditempatkan di Karachi selepas bencana menenggelamkan kampung mereka di Khaipur Nathan Shah di hulu Sindh.

“Sekurang-kurangnya 17 mayat ditemukan daripada bas berkenaan. Daripada mereka, 12 adalah kanak-kanak, dua wanita dan tiga lelaki.

“Seorang lagi mayat kanak-kanak disyaki masih berada di dalam bas tetapi memandangkan keadaan mayat mengerikan dan kedudukannya sangat rapat selepas terbakar maka kami tidak pasti 100 peratus,” kata Setiausaha Kesihatan Parlimen Sindh, Qasim Soomru.

Katanya, kesemua mangsa banjir daripada komuniti yang sama dan telah ditempatkan di Karachi selepas bencana itu melanda kampung mereka.

Kejadian dipercayai berlaku pada waktu malam berhampiran balai polis di bandar Nooriabad.

Timbalan Penguasa Polis Nooriabad, Wajid Thaheem berkata, kebakaran yang menyambar pada keseluruhan bas dipercayai berpunca daripada litar pintas dalam penghawa dingin kenderaan.

Banjir monsun – yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim – melanda Pakistan selama berbulan-bulan, sehingga membunuh sekurang-kurangnya 1,700 orang dan memusnahkan infrastruktur negara itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button