Dunia

Hamas kutuk pencabulan Israel ke atas Masjid Ibrahimi

Gesa rakyat Palestin menentang tindakan Zionis, ekstremis Yahudi

TEBING BARAT, 17 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pendudukan negara haram Israel menutup Masjid Ibrahimi di Hebron kepada jemaah Palestin.

Dalam satu kenyataan Hamas mengecam, tindakan melampau Israel membenarkan peneroka kolonial mencemarkan masjid dan melanggar kesucian dengan mengadakan perhimpunan perayaan Yahudi di dalamnya.

Hamas turut menegaskan bahawa amalan seperti itu adalah pencabulan secara terang-terangan terhadap kebebasan beribadah umat Islam.

“Kami menegaskan bahawa Masjid Ibrahimi adalah tempat ibadat untuk orang Islam sahaja dan fakta ini telah disahkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) pada 2017 dan peneroka penjajah tidak berhak ke atasnya,” kata Hamas.

Sehubungan itu, Hamas menggesa rakyat dan puak Palestin untuk terus menentang sebarang bentuk pencabulan tentera penjajah Zionis dan peneroka Yahudi ekstremis.

“Kami menyeru masyarakat antarabangsa dan badan hak asasi manusia untuk mengutuk serta menjenayahkan pencabulan Israel dan menyokong rakyat kami, tanah serta tapak suci Islam dan Kristian Palestin,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button