Kewujudan Melayu, Islam boleh hilang jika peradaban bangsa tak diangkat
Hilang jati diri ancam kedaulatan malah beri ruang musuh menyerang

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 17 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Peradaban sesuatu bangsa bukan hanya tertumpu kepada kemajuan, bahkan juga merangkumi segala aspek kehidupan termasuk sosial dan pendidikan.
Oleh kerana perjuangan yang dibawa itu tidak mudah, maka ia memerlukan tenaga sangat besar bagi memastikan kefahaman mengenai peradaban sebenar dan keperluannya supaya dapat direalisasikan pada masa hadapan.
Atas dasar itu, bekas Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya melihat, peranan semua pihak bukan hanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bahkan ketua masyarakat, ahli akademik dan pemerintah sebagai komponen penting dalam membangunkan sebuah peradaban.
“Kalau salah satu daripada komponen masyarakat ini tidak dapat memahami keperluannya, maka perkara ini agak sukar. Bukan tidak boleh tetapi agak sukar untuk dilaksanakan.
“Sebab itu bagi pihak ISMA sendiri kita ambil pendekatan pertama sekali menyedarkan masyarakat mengenai keperluan dan bagaimana kalau peradaban kita ini tidak dapat diangkat, yang akan menyebabkan satu senario mungkin hilang jati diri dan akhirnya hilang kewujudan bangsa Melayu dan agama Islam itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program temu bual Dimensi bertajuk Bersama Membangun Peradaban: Kesepakatan NGO Melayu Muslim bersempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun ISMA di TV Pertiwi, hari ini.
Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga bekas Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengakui, tidak mudah untuknya berperanan menyatukan NGO-NGO Islam demi mencapai satu agenda bersama demi agama dan bangsa Melayu.
“Proses pertama yang kita lakukan adalah menyedarkan rakyat dan NGO-NGO mengenai bahayanya kehilangan jati diri kerana ia menyebabkan kita bukan sahaja tidak mampu mempertahankan kedaulatan negara dan agama, malah memberi ruang pihak musuh untuk menyerang kita dari pelbagai sudut.
“Jadi apabila saya menerangkan mengenai bahaya dan ancaman yang ada dengan mengeluarkan fakta serta agenda musuh, mereka mula memahami skop yang lebih luas lagi dan melihat perlunya bersama,” katanya.
Beliau berkata, kefahaman itu menyebabkan rata-rata NGO – yang bersama di bawah PEMBELA – mula melupakan perbezaan dan menumpukan kepada persamaan terhadap agenda bangsa serta agama.
“Disitulah mula bertitik tolak segalanya, tetapi perkara ini bukan boleh selesai sehari dua atau seminggu tetapi memakan masa bertahun.
“Saya bersama PEMBELA sudah hampir 10 tahun memberikan kefahaman, menjelaskan tentang ancaman ini dan saya dapati perkara asas itu banyak dah selesai cuma sekarang bagaimana kita nak lonjakkan lagi semangat supaya ia lebih strategik dan tersusun dalam perjuangan kita,” katanya.
Pautan Dimensi;