Berita Utama

MB Perak dititah menghadap Sultan Nazrin Shah hari ini

'Tidak pasti apa tujuan, tunggu sehingga istana buat pengumuman': Saarani

IPOH, 17 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Selepas menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi mempersembahkan hasrat pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu lepas, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad telah dititahkan untuk menghadap Sultan Nazrin Shah hari ini.

Saarani memaklumkan beliau telah dititahkan untuk menghadap Sultan Perak hari ini ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak 1444H/ 2022M di sini hari ini.

“Tidak pasti apa tujuan (menghadap)…tunggu sehingga Istana buat pengumuman,” kata Saarani.

Difahamkan majlis menghadap hari ini berlangsung sekitar tengah hari di Istana Kinta selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Negeri Perak yang dihadiri Saarani.

Pada majlis menghadap pada Rabu lepas, Saarani mempersembahkan warkah permohonan pembubaran DUN kepada Sultan Perak, yang menurut Saarani, warkah permohonan pembubaran itu dibuat selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Saarani turut menyembah maklum mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Okt, serta syor supaya ketua kerajaan negeri mengambil tindakan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan serentak.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

DUN Perak kini terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button