PAS perjelas sebab tolak bubar DUN di tiga negeri
Tak mahu diheret dengan kemarahan rakyat adakan PRU musim banjir

BANGI, 17 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Tidak mahu diheret sama dengan kemarahan rakyat menjadi faktor utama PAS memutuskan untuk meneruskan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Apatah lagi, langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bakal bercanggah dengan kandungan surat yang dihantar menteri Perikatan Nasional (PN) kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu perlu konsisten dengan pendirian tidak bersetuju jika pilihan raya dibuat pada musim banjir.
“Justeru, jika kita bubarkan juga, nanti bercanggah dengan apa yang kita pernah sebut.
“Oleh itu, kita konsisten dengan keputusan harian bahawa tiga DUN di tiga negeri tidak akan dibubarkan sekiranya mereka mengambil keputusan untuk membubarkan pada waktu ini,” katanya dalam wawancara di Harakahdaily, hari ini.
Meskipun mengakui kesan dua pilihan raya akan menelan kos yang tinggi, Tuan Ibrahim beranggapan bahawa kesilapan itu berpunca daripada pihak yang mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
“Kenapa mereka bubar pada waktu ini? Rakyat susah, kalau banjir berlaku. Kemudian sekolah akan menjadi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jika banjir, kita bimbang takut-takut kemarahan rakyat sekarang ini sangat ketara.
“Bagi kita, soal pembubaran DUN kita hendak biar tenang, habis musim banjir kita hadapi pilihan raya dengan keadaan tenang dan negeri-negeri kita pun setuju dengan keputusan itu.
“Kenapa kita tidak bubar? Sebab kita tak mahu diheret sama dengan kemarahan rakyat sekarang. Kita yakin ada lebih lapan bulan sehingga Mei 2023, dalam tempoh itu banyak benda kita boleh buat, dan kita tak perlu tergesa-gesa,” katanya.