Berita Utama

Bersatu tolak kerjasama PH, tumpu usaha perkukuh PN

Sedia hadapi pertandingan pelbagai penjuru pada PRU15

BANGI, 18 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat ketetapan untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam kenyataan hari ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu juga mengambil maklum keputusan Majlis Presiden PH untuk tidak mengadakan kerjasama bersama parti berkenaan.

“Berhubung laporan mengenai kerjasama Bersatu dan PH, Bersatu membuat ketetapan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan PH dalam menghadapi PRU15

“Bersatu akan menumpukan kepada usaha untuk memperkukuh Perikatan Nasional (PN) bersama PAS, GERAKAN, SAPP (Parti Maju Sabah) dan STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) Sabah sebagai gabungan politik pelbagai kaum di negara ini yang berhasrat menawarkan kepimpinan bebas rasuah, cekap dan prihatin demi kemakmuran seluruh rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata, selaras demokrasi dan kebebasan rakyat untuk memilih, Bersatu bersedia untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru pada PRU15 membabitkan PN, Barisan Nasional (BN), PH dan parti politik lain yang bertanding.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak atau gabungan, asalkan berlandas prinsip tertentu, bukan hanya untuk menumbangkan UMNO dan BN semata-mata.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil kemudiannya menjelaskan bahawa parti itu tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan PN.

Bahkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan memaklumkan kerjasama dengan Muhyiddin atau PN hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Majlis Presiden PH membatalkan keputusannya sebelum ini.

Beliau berkata, ia kerana Majlis Presiden PH sebelum ini sudah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu atau gabungan yang dipimpinnya disebabkan peranannya sebagai ‘pengkhianat’ dalam Langkah Sheraton.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button