Berita Utama

GTA perlu maslahat besar berdepan instrumen politik mahu kekal berkuasa

Tiada kerjasama menyebabkan secara taktikalnya kemungkinan GTA kalah

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 18 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Gerakan Tanah Air (GTA) masih meneruskan perbincangan berhubung kerjasama dengan parti-parti lain dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Bagaimanapun, sekiranya ada kerjasama dengan parti lain, prinsip dan pendirian GTA masih dikekalkan iaitu menolak pemimpin Melayu yang tidak berwibawa dan mempunyai kepentingan peribadi serta korupsi, demikian tegas Ketua Penerangan GTA, Datuk Nizam Mahshar.

“Buat masa ini kita masih meneliti dan terus mengadakan perbincangan berhubung untuk mengadakan penggabungan dan kerjasama dengan parti lain bagi mengelak pihak lain mengambil kesempatan di atas niat yang tersembunyi.

“Pelbagai pihak ada menawarkan kerjasama kepada kita kecuali UMNO, jadi untuk itu kita masih mempertimbangkan, sesi perbincangan masih diteruskan dan diteliti sehingga kini demi kepentingan semua,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Nizam menjelaskan, sekiranya tidak mempertimbangkan kerjasama dengan mana-mana pihak akan menyebabkan secara taktikalnya kemungkinan GTA kalah.

“Atas dasar itu juga menyebabkan GTA wajar untuk mempertimbangkan untuk mengadakan penggabungan dan kerjasama dengan parti lain bagi berdepan pihak tersebut

“Ini semua disebabkan GTA sehingga kini belum secara rasmi lagi didaftarkan di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS),” katanya.

Nizam berpandangan, Barisan Nasional (BN) mempunyai agenda tersendiri dalam menghadapi PRU15, malah mereka yang terlalu teruja untuk melakukannya secepat mungkin.

Beliau mendakwa, tindakan BN untuk mempercepatkan PRU15 kerana tidak mahu mana-mana pihak bersedia sekali gus membuktikan tujuannya bukan memartabatkan demokrasi.

Tetapi berhasrat mahu melepaskan pemimpin-pemimpin UMNO yang berdepan tindakan pengadilan, dakwanya.

“Kita dah lihat secara jelas dalam Perhimpunan Agung UMNO, mereka secara jelas menyatakan mahu menggunakan Peguam Negara untuk memastikan kes-kes diaturkan,” dakwanya lagi.

Bagaimanapun beliau menegaskan, penggabungan berkenaan diwujudkan daripada sudut taktikal namun tidak bermakna mengurangkan prinsip utama GTA yang menolak pemimpin Melayu bermasalah dan mempunyai kepentingan peribadi.

Nizam pada masa sama menjelaskan, pihaknya kini berdepan dengan persepsi dengan pemimpin yang akan bergabung.

“Kita masih mempertimbang maslahat yang lebih besar kerana kita akan berdepan musuh dan instrumen politik yang boleh menggunakan apa sahaja termasuk seluruh jentera kerajaan, keselamatan, keadilan semata-mata untuk kekal berkuasa,” tegas beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button