Berita Utama

Pengundi kini semakin matang, tidak mudah ‘dijual’ pemimpin sendiri

Sudah tiga kali ‘diajar’ dalam PRU tapi masih belum insaf

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 18 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Pengundi hari ini sudah tidak terpesona dengan sogokan dan ‘gula-gula’ untuk memancing undi berikutan semakin matang dalam membuat perhitungan memilih pemimpin yang sesuai.

Hakikatnya pengundi sudah muak dan penat untuk memberi peluang berkali-kali kepada pemimpin yang kononnya boleh membela nasib mereka, demikian luah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad.

“Ingatkan setelah ‘diajar’ pada tiga kali Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) , PRU14 dan PRU15 mereka sudah insaf.

“Sayangnya sangkaan itu tidak berlaku sebaliknya terus semakin ganas dan terus bercakaran untuk menjadi nakhoda selain bersaing sesama sendiri.

“Mereka terus berpecah kerana nafsu masing-masing yang meluap-luap untuk jadi pemimpin hebat kononnya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini politik negara yang bercakaran kesan daripada sikap tamak untuk memerintah.

Hasan berkata, pemimpin kini masih menganggap pengundi hari ini ditakuk lama yang mudah digula-gulakan atau disogok dengan dedak.

Tegas beliau, pengundi tidak lagi terbuai dengan janji-janji manis sebaliknya semakin bijak mengurus dan sudah bersiap sedia membina budaya swatadbir urus diri serta keluarga masing-masing.

“Lihat sahaja keadaan hari ini walaupun Parlimen baru dibubarkan namun golongan itu sudah lebih awal siap siaga dengan manifesto baru.

“Pemimpin ini bersaing mereka cipta skrip sandiwara untuk ditayangkan kepada pengundi.

“Kesian betul, mereka terlalu taksub dengan maklum balas dari kroni dan penyokong mereka dalam parti masing-masing, kononnya akar umbi mereka cukup kuat untuk jamin kemenangan,” katanya.

Katanya Hasan lagi, golongan itu sebenarnya syok sendiri dan gagal membaca dengan tepat trend pengundian dalam kalangan bangsanya sendiri, terutama pengundi berumur 18 tahun.

Katanya, golongan ini tidak perlu menjadi hero Melayu atau mujahid, membawa cerita atau janji kononnya parti atau calon mereka akan berjuang habis-habisan menjuarai agenda Bumiputera, maqasid syariah dan apa juga agenda seumpama dengannya.

Tegas beliau, semua itu sudah tidak lagi relevan sebagai faktor, jika ia keluar dari mulut pemimpin yang tamak dan pentingkan diri sendiri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button