Berita Utama

RUU Perbekalan 2021 dibentangkan untuk bacaan kedua di Dewan Negara

Pindaan berbangkit dari pengurangan jumlah wang diperuntukkan

KUALA LUMPUR, 1 Jamadilawal 1442H, Rabu – Rang Undang-undang Perbekalan 2021 hari ini dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dengan pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat petang semalam.

Tengku Zafrul memaklumkan pindaan itu melibatkan Fasal 2 dalam teks bahasa Kebangsaan dan teks bahasa Inggeris Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 iaitu perkataan RM164,151,656,800 kepada RM164,106,656,800.

“Saya juga mohon memaklumkan bahawa Jadual kepada Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 dipinda di bawah ruang ‘amaun’ bagi Maksud B.47, dengan menggantikan perkataan 1,242,464,900 dengan perkataan 1,197,464,900, dan pada Jumlah dengan menggantikan perkataan 164,151,656,800 dengan perkataan 164,106,656,800,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Jelasnya, pindaan ini berbangkit daripada pengurangan jumlah wang yang diperuntukkan bagi Maksud B. 47 yang dinyatakan dalam Jadual kepada Rang Undang-Undang.

Ia untuk mengurangkan RM45 juta daripada jumlah yang diperuntukkan di bawah Kepala Bekalan B. 47 di bawah butiran 050100 – Perluasan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Di atas semangat demokrasi berparlimen, serta pandangan yang diterima daripada pelbagai lapisan rakyat, beberapa pindaan lain juga telah dipersetujui dan pada hari ini saya akan memperincikan sekali lagi kepada Ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Dewan Negara ini,” katanya.

Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 selepas bacaan ketiga yang diputuskan melalui undian belah bahagian selepas lebih 15 ahli Parlimen bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi belah bahagian.

Bagaimanapun, ia diluluskan selepas seramai 111 menyokong, 108 menolak dan seorang tidak hadir. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button