Sekolah vernakular kekal jika BN bentuk kerajaan: Presiden UMNO
Bakal menjadi sebahagian daripada manifesto BN pada PRU15

BANGI, 18 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Menjadi kelaziman bagi Barisan Nasional (BN) menggunakan isu sekolah vernakular sebagai modal bagi menarik perhatian pengundi menjelang musim pilihan raya.
Belum lagi mula berkempen, pemimpin utama UMNO memberi jaminan untuk mempertahankan sekolah-sekolah vernakular di negara ini sekiranya parti itu diberikan mandat semula dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak lama lagi.
Janji manis itu dilaungkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sambil menyifatkan, sekolah vernakular adalah hak masyarakat majmuk di negara ini.
“Saya telah menerima manifesto PRU15 MIC untuk masyarakat India dan saya ingin mengumumkan, selepas mengadakan perbincangan dengan Timbalan Pengerusi BN tadi kita akan masukkan semua manifesto ini dalam manifesto BN.
“Saya yakin jika BN menjadi kerajaan semula soal sekolah India, Cina dan vernakular akan terus dikekalkan dalam sistem pendidikan negara ini.
“Kita perlu kekalkan sekolah vernakular ini kerana ini, it belong to plural society, kita kepunyaan masyarakat majmuk,” katanya seperti dipetik dalam ucapan ketika Perhimpunan Agung Kongres India Malaysia (MIC) ke-76, baru-baru ini.
Katanya lagi, sumbangan masyarakat India cukup jelas bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi tetapi juga menerusi bidang lain termasuk pendidikan, sosial serta negara secara keseluruhannya.
“Mana mungkin komuniti India dipinggirkan oleh kerajaan BN. Walaupun ada seorang menteri yang menjaga bidang pendidikan dan ada peruntukan khas untuk sekolah-sekolah Tamil, Cina kerana menteri itu tidak faham dengan dasar pendidikan negara.
“Mereka tidak faham soal pendidikan untuk masyarakat India dan Cina.
“Saya yakin dalam PRU ini, saya berazam bersama-sama Perdana Menteri untuk menggantikan Menteri Pelajaran yang ada kepada menteri dari BN,” katanya.