Kesengsaraan rakyat hari ini bukan kerana negara miskin tapi korupsi
GTA bawa konsep Melayu yang hebat menentang rasuah dan pengkhianat

BANGI, 19 Rabiulawal 1444H, Ahad – Nasib rakyat Malaysia mungkin lebih baik hari ini sekiranya sumber negara diuruskan sebaiknya tanpa sebarang salah laku rasuah dan penyelewengan.
Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Pahang, Aminuddin Yahaya berkata, sekiranya urus tadbir negara berada pada tangan yang tepat, sudah pasti pendapatan rakyat mungkin tiga hingga empat kali lebih baik daripada yang diperoleh sekarang.
Namun, disebabkan rasuah dan penyelewengan yang berlaku, golongan kaya yang terus mengaut keuntungan melipat ganda daripada sumber berkenaan.
“Kesengsaraan rakyat hari ini bukan kerana negara tidak ada sumber yang banyak… di Pahang ada emas, bauksit macam-macam yang mempunyai nilai tinggi boleh dikaut, di mana hasilnya kita dapat berbilion ringgit untuk membantu rakyat.
“Tapi disebabkan korupsi yang berlaku, yang kaya itulah mengaut keuntungan yang melipat ganda, yang kita tidak boleh bayangkan bila dikatakan sampai mempunyai simpanan RM100 bilion,” katanya berucap dalam Himpunan GTA Negeri Pahang di Temerloh, semalam.
Jelajah GTA di negeri itu turut dihadiri Pengerusi Penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Atas dasar itu, Aminuddin berkata, GTA menjadi gerakan alternatif untuk rakyat yang semakin muak dengan pemimpin parti politik sedia ada yang tiada kredibiliti.
“Jadi hari ini GTA membawa konsep Melayu yang hebat dan wibawa untuk kita menentang Melayu rasuah dan pengkhianat ini.
“Dan saya yakin andai kata GTA menang bukan sahaja di Pahang, tetapi di Putrajaya sekali pun, kita akan mampu mengangkat Malaysia menjadi negara yang unggul di dunia.
“Bukan sebagai kuasa besar, tetapi saya yakin kalau betul kita urus kita boleh menguasai satu-satu bidang lebih daripada orang lain dan ia berlaku pada Singapura serta negara-negara kecil lain,” katanya.