Berita Utama

Radzi sedia jumpa Cikgu Mohd Fadli

Didakwa telah menerima surat tatatertib berikutan tindakannya

KUALA LUMPUR, 19 Rabiulawal 1444H, Ahad – Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin bersedia untuk berjumpa guru yang mendakwa telah menerima surat tatatertib berikutan tindakannya menyuarakan masalah silibus pembelajaran, isu beg berat dan bilangan murid yang ramai di dalam kelas.

Menerusi catatan di Facebook, Radzi berkata pertemuan berkenaan adalah bagi membolehkan beliau mengetahui perkara yang dibangkitkan guru berkenaan Mohd Fadli Mohamed Salleh, dengan lebih lanjut.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” katanya.

Mohd Fadli, guru Matematik di sebuah sekolah rendah di Gombak menerusi Facebooknya mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Beliau turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.

Bagaimanapun, menerusi hantaran terbaharunya, Mohd Fadli berkata beliau akan berjumpa dengan Radzi pada suatu masa nanti. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button