Berita UtamaDunia

Empat maut, lebih 60 cedera penjara di Iran terbakar

Didakwa ada kaitan dengan bantahan antikerajaan

TEHRAN, 20 Rabiulawal 1444H, Isnin – Sekurang-kurangnya empat banduan terkorban, manakala 61 lagi cedera dalam nahas kebakaran di Penjara Evin, yang menempatkan tahanan politik di Iran.

Video yang dikongsi di media sosial menyaksikan asap tebal memenuhi ruang udara di kawasan penjara dan letupan serta tembakan turut kedengaran.

Kebakaran berlaku didakwa mempunyai kaitan dengan bantahan antikerajaan, selepas ratusan yang terlibat dihantar ke Penjara Evin.

Bantahan berlaku bulan lepas berikutan kematian remaja Iran, Mahsa Amini yang didakwa dianiaya pihak keselamatan ketika berada dalam tahanan.

Bagaimanapun pihak berkuasa menafikan dan menjelaskan kematian remaja berpunca daripada serangan jantung.

Namun ahli keluarga remaja berusia 22 tahun itu berkeras menyatakan kematian Mahsa berlaku selepas dipukul pasukan keselamatan.

Sementara itu, sumber penjara menjelaskan berlaku rusuhan di bahagian di bengkel jahitan sebelum kejadian kebakaran.

Mangsa yang cedera mengalami kesukaran bernafas dan empat daripada mereka kini dalam keadaan kritikal. – Agensi

Pautan berkaitan:
https://ismaweb.net/2022/10/12/protes-mahsa-amini-108-terkorban-sepanjang-tiga-minggu/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button