Berita Utama

DUN Perak bubar hari ini

Sultan Nazrin beri perkenan untuk membubarkan DUN

TAPAH, 20 Rabiulawal 1444H, Isnin – Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara rasmi hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembubaran DUN dilakukan selepas beliau menerima warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang memberi perkenan untuk membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini.

“Watikah tersebut diperoleh pada Ahad,” katanya pada sidang media di sini.

Dilapor, pada Rabu, Saarani pertama kali menghadap Sultan Nazrin bagi mempersembahkan hasrat pembubaran DUN sebelum dititahkan sekali lagi menghadap pada Jumaat.

Menurut Saarani, warkah permohonan pembubaran itu dibuat selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Saarani turut menyembah maklum mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Okt, serta syor supaya ketua kerajaan negeri mengambil tindakan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRU15 diadakan serentak.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN.

DUN Perak kini terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button