Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Negeri tak bubar DUN panjangkan lagi konflik politik negara

Rakyat bakal terkesan jika pilihan raya dibuat berasingan

BANGI, 20 Rabiulawal 1444H, Isnin – Pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) secara berasingan antara Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memanjangkan lagi konflik politik yang sepatutnya selesai sebaik pilihan raya tamat.

Bahkan, kesan daripada situasi itu juga bakal merugikan rakyat kerana turut diheret dalam konflik berkenaan, kata Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis.

Beliau berkata, masa dan wang rakyat habis dibelanjakan untuk menampung kos pilihan raya yang boleh dijimatkan sekiranya proses demokrasi itu dijalankan serentak.

“Mereka yang bertugas pula terpaksa meninggalkan kerja hakiki dan kembali bersusah payah menguruskan perjalanan pilihan raya hanya kerana keengganan orang politik membubarkannya serentak.

“Tekanan politik kuat kepada Pakatan Harapan (PH) dan PAS dilihat antara faktor berkenaan,” katanya dalam tulisan di Berita Harian (BH).

Menurut Mujibu, rakyat tidak naif untuk menerima bulat-bulat alasan banjir seperti Barisan Nasional (BN) membubarkan Parlimen dengan alasan memulangkan mandat itu untuk membentuk kerajaan stabil.

“Kekuatan BN di negeri mereka tidaklah sampai boleh menggugat kerajaan PAS dan PH. Kalau bubar serentak, mereka diramal tidak bermasalah untuk mempertahankannya.

“Namun, ikut sama bubar akan memperlihatkan mereka hipokrit di mata rakyat. Sepanjang tempoh spekulasi mengenai PRU15, PAS dan PH paling kuat mengkritik tindakan BN yang mahu bubar Parlimen dan buat PRU pada akhir tahun,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa kelebihan kepada negeri yang melakukan PRU15 berasingan, antaranya faktor masa dan kesan pilihan raya pertengahan penggal.

“PRU15 mungkin menjadi ujian litmus kepada banyak perkara terutama dalam membaca gelagat pengundi muda terhadap politik semasa.

“Memandangkan parti politik meramalkan keterpecahan undi, peratusan keluar undi rendah dan kebarangkalian tiada parti mampu untuk mencapai majoriti mudah hingga kemungkinan perlu kepada kerajaan campuran, maka pilihan raya berasingan adalah cara terbaik bagi mengurangkan risiko,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan, parti itu kekal dengan pendirian tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Begitu juga Majlis Presiden PH,  memutuskan tiga negeri ditadbir gabungan itu iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga tidak akan membubarkan DUN masing-masing.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button