Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Tiga negeri bubar DUN, PRN serentak PRU15

Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulawal 1444H, Isnin – Pahang, Perlis dan Perak kini sah akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) masing-masing serentak dengan peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) susulan pembubaran Parlimen ke-14, berkuat kuasa 10 Oktober.

Ia berikutan langkah Pahang dan Perlis membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada 14 Oktober lepas dan Perak hari ini, bagi membolehkan pilihan raya bagi kerusi DUN dan Parlimen dilaksanakan bersekali.

Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14, beliau turut mengesyorkan negeri-negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk membubarkan DUN masing-masing, bagi membolehkan PRN dan Parlimen diadakan serentak. 

“Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap,” kata Ismail Sabri.

Berdasarkan garis masa, Pahang pada 14 Oktober lepas adalah yang pertama mengumumkan pembubaran DUN dalam sidang media khas Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, setelah diperkenankan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia diikuti Perlis pada hari sama yang mengisytiharkan pembubaran DUN oleh Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man setelah diperkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam sesi menghadap di Galeri Diraja Arau pada 13 Oktober lalu.

Hari ini 17 Oktober, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dalam sidang media mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menerusi warkah pengisytiharan daripada baginda semalam.

Saarani telah menghadap Sultan Nazrin berkaitan pembubaran DUN Perak sebanyak dua kali iaitu kali pertama pada 12 Oktober, sebelum dititahkan sekali lagi untuk menghadap pada Jumaat lepas (14 Okt).

Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pahang mempunyai 14 Parlimen dengan 42 DUN, Perlis tiga Parlimen dan 15 DUN, manakala Perak 24 Parlimen dan 59 DUN.

PAS yang mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN di ketiga-tiga negeri itu selepas ia dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 13 Oktober lepas.

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 15 Oktober memutuskan untuk tidak membubarkan tiga DUN di bawah pentadbiran PH iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, meskipun Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan mahu DUN Pulau Pinang dibubarkan agar PRN berjalan serentak dengan PRU15.

Walaupun terdapat beberapa negeri enggan membubarkan DUN masing-masing, Ismail Sabri dilaporkan berkata PRU15 tetap akan diteruskan.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah pada 20 Oktober ini. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button