Berita Utama

UMNO nak menang PRU15 demi selamatkan pemimpin

Dapatkan pengampunan bagi Najib, gugur kes Zahid

BANGI, 20 Rabiulawal 1444H, Isnin – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa parti Pejuang dan rakan komponennya dalam Gerakan Tanah Air (GTA) tidak bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk menyelamatkan diri atau mendapatkan duit.

Sebaliknya, parti-parti dalam GTA – yang bakal menggunakan logo Pejuang pada PRU15 – berjuang untuk bangsa, negara dan agama di samping berusaha meringankan masalah yang dihadapi rakyat.

Berbeza dengan UMNO, Pengerusi Penaja GTA itu berkata, selain mahu berkuasa, parti bertunjangkan Melayu itu turut bermatlamat mahu menyelamatkan pemimpinnya yang terpalit pertuduhan di mahkamah.

“Mengikut kenyataan Presiden UMNO perjuangan BN-UMNO hanya untuk selamatkan pemimpin mereka dari dipenjara atau dicaj kerana mereka sudah melakukan jenayah.

“Tumpuan kerajaan UMNO apabila menang ialah mendapat pengampunan bagi Najib dan menggugur kesnya yang sedang dibicara.

“Dengan itu, ketua kleptokrat boleh menjawat jawatan PM,” katanya dalam tulisan terbaharu di blog Serambichedet, hari ini.

Tokoh negara berusia 97 tahun itu berkata, bukan sahaja kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan digugurkan, bahkan juga pemimpin-pemimpin BN-UMNO yang lain.

“Inilah harapan UMNO jika menang. Pemulihan ekonomi negara, penghapusan rasuah, penstabilan politik, pertambahan peluang kerja bantuan kepada rakyat miskin, mengatasi masalah orang Melayu dan kaum lain dan banyak lagi tidak disebut oleh Zahid atau tidak diutamakan,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dalam sebuah video ucapannya mendakwa, bahawa UMNO-BN mesti memenangi PRU15 kerana bakal berdepan nasib yang lebih buruk daripada PRU14 jika kecundang sekali lagi.

“Bukan saya sahaja kena dakwa, Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) kamu juga dalam senarai menunggu,” kata Ahmad Zahid yang turut menamakan beberapa lagi pemimpin lain dalam BN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button