
BANGI, 20 Rabiulawal 1444H, Isnin – Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku pernah meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya membubarkan parti itu.
Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, ini kerana UMNO bukan lagi parti yang sama seperti dahulu kerana perjuangannya hanya demi seorang pemimpin.
Atas sebab itu, beliau berkata, UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan ramai wakil rakyatnya tinggalkan parti.
“Ada yang lompat masuk Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). UMNO kalah kerana tidak lagi berjuang untuk bangsa, negara dan agama.
“UMNO hanya berjuang untuk Najib. Sokongan kepada Najib bukan kerana setia tetapi kerana duit.
“UMNO bukan lagi UMNO. Sebab itu UMNO sepatutnya dibubar,” katanya dalam sebuah video yang dimuatnaik di Facebook rasmi Dr Mahathir bin Mohamad.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mendedahkan bahawa beliau pernah diminta oleh Dr Mahathir untuk melompat parti menyertai Bersatu dan membubarkan UMNO.
Dakwa Ahmad Zahid, disebabkan keengganannya berbuat demikian pendakwaan terpilih dikenakan ke atasnya ketika zaman kerajaan ditadbir Pakatan Harapan (PH).
“Secara tegas saya menolak dan menyatakan kepada Dr Mahathir bahawa kubur saya akan banjir keesokannya, jika saya bubar dan keluar daripada UMNO untuk menyertai parti Bersatu.
“Penolakan itu kerana saya tidak akan sekali-kali mengkhianati parti UMNO semata-mata untuk kesenangan peribadi jawatan dan kedudukan,” dakwa Ahmad Zahid.