Berita Utama

Mossad Israel rekrut rakyat Malaysia culik anggota Hamas

Mangsa dua lelaki Palestin dipercayai aset Briged al-Qassam

KUALA LUMPUR, 21 Rabiulawal 1444H, Selasa – Ejen perisikan Israel sekali lagi melancarkan perang sedunia mereka terhadap anggota Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di negara ini.

Bagaimanapun mereka telah menukar strategi dengan tidak meninggalkan kesan pembabitan.

Memetik laporan New Straits Times, mereka dipercayai merekrut aset tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia.

Baru-baru ini, ejen Mossad telah membabitkan rakyat tempatan untuk mengesan dan menculik dua lelaki Palestin yang dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam.

Dalam operasi penculikan di tengah-tengah Kuala Lumpur, pasukan itu memintas dua warga Palestin sejurus selepas jam 10 malam pada 28 September, apabila kedua-duanya mahu memasuki kenderaan yang diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng di sini.

Sebuah kenderaan berwarna putih memandu ke arah mereka dan empat lelaki keluar menuju ke arah tempat duduk pemandu.

Mereka memukul sambil mengheret mangsa ke dalam kenderaan lain dan memberitahu ‘Bos mereka mahu bercakap dengannya’.

Seorang lagi warga Palestin cuba membantu rakannya namun diberi amaran supaya menjauhkan diri.

Apabila menyedari bahawa ia kemungkinan tindakan ejen Israel, dia berlari ke hotel berdekatan untuk mendapatkan bantuan daripada anggota keselamatan yang ditempatkan di sana, ketika kenderaan utama memecut bersama mangsa .

Warga Palestin kedua membuat laporan di balai polis Dang Wangi kira-kira 40 minit selepas penculikan.

Sementara itu, warga Palestin yang diculik dipukul dalam kenderaan.

Penculiknya mengambil telefon bimbit mangsa dan memaksanya membuka kata laluan.

Mangsa berbohong kepada mereka bahawa telefon bimbit itu milik rakannya.

Difahamkan, penculik itu membuang telefon bimbit itu ketika memecut ke arah Kuala Langat kerana bimbang dikesan.

Sambil diikat dan ditutup mata, mangsa Palestin dibawa ke sebuah bilik di sebuah chalet di di daerah itu, di mana penculik – dikenali sebagai rakyat Malaysia – mengikatnya pada kerusi.

Satu panggilan video telah dibuat di hadapan mangsa. Dalam talian itu terdapat dua lelaki, dipercayai warga Israel, yang awal pembukanya kepada mangsa ialah: “Anda tahu mengapa anda berada di sini.”

“Ejen yang melakukan penculikan mungkin salah berkomunikasi dengan pengendali Israel.

“Beberapa rakyat Malaysia yang lain ada menunggu di chalet dan membiarkan rakyat Palestin yang lain melarikan diri… walhal, dia akan menjadi tangkapan berharga,” kata sumber yang mengetahui kes itu.

Mereka juga gagal menutup muka, pengawasan asas dalam mana-mana operasi rahsia malah nombor plat pada kenderaan yang digunakan juga dipercayai asli.

Di chalet itu, sebuah lagi bilik dengan susunan yang sama untuk mangsa kedua telah disediakan.

Selama 24 jam berikutnya, mangsa disoal siasat dan dipukul oleh ejen apabila jawapannya tidak memuaskan hati Israel.

Sementara itu, seorang daripada ejen sedang berhubung terus dengan seorang lagi warga Israel, melaksanakan arahannya.

“Orang Israel ingin tahu mengenai pengalaman beliau dalam pembangunan aplikasi komputer, kekuatan Hamas dalam membangunkan perisian, anggota Briged Al-Qassam yang beliau kenali dan kekuatan mereka,” katanya.

Sementara itu, polis segera menjalankan siasatan kes itu dan berjaya mengesan laluan kereta yang membawa mereka ke chalet.

Difahamkan, ketika pasukan polis menyerbu bilik itu, soal siasat sedang dijalankan dan lelaki Israel di hujung talian yang keliru seketika dengan kekecohan yang berlaku, kedengaran berkata: “Hello! Hello!”, sebelum talian ditamatkan.

Soalan terakhir yang ditanya oleh pihak Israel kepada mangsa sebelum polis menyerbu masuk ialah siapa di kalangan pimpinan tertinggi Hamas yang pernah bertemu rakannya.

“Jika polis Malaysia tidak bertindak pantas, mangsa berkemungkinan hilang,” kata sumber itu.

Mangsa yang trauma mengalami kecederaan di bahagian badan, kepala dan kaki, kini telah meninggalkan Malaysia.

Sumber;
https://www.nst.com.my/news/crime-courts/2022/10/841460/mossad-used-locals-kidnap-palestinian

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button