Berita Utama

Tak boleh ubah sesuka hati, ini bukan silibus Radzi Jidin

Bila dekat pilihan raya, ada cuba politikkan isu silibus

BANGI, 21 Rabiulawal 1444H, Selasa – Silibus pembelajaran yang dibangunkan Kementerian Pendidikan (KPM) bukan dibuat secara tiba-tiba, sebaliknya mempunyai kitaran yang tidak boleh diubah sesuka hati.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penghasilan silibus memerlukan proses kajian dan melibatkan banyak pihak termasuk penglibatan guru pakar.

“Ini bukan silibus Radzi Jidin, saya ingin jelaskan silibus yang digunakan ketika ini bermula 2017 dan untuk bina silibus ketika itu telah ada perbincangan sebelum itu lagi.

“Jika silibus ditukar secara kerap, cikgu-cikgu serta murid-murid akan menghadapi kesukaran nak sesuaikan diri dengan silibus baharu,” katanya seperti dilapor UtusanTV, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, ada pihak yang cuba mempolitikkan perkara berkenaan menjelang Pilihan raya.

“Ada ahli-ahli politik diluar sana, bila dekat dengan pilihan raya, mereka cuba untuk mempolitikkan isu silibus.

“Kalau nak politikkan silibus ini saya boleh bercerita panjang yang mana sejak 2017 hingga ketika ini, ia melibatkan kerajaan Barisan Nasional (BN), 2018 Pakatan Harapan (PH) dan sebagainya.

“Tetapi kita tidak mahu perkara ini dipolitikkan kerana sistem pendidikan negara perlu dijauhkan dari politik,” katanya.

Tegas beliau tindakan menukar silibus hanya menyebabkan murid dan guru mengalami kesukaran dalam pembelajaran serta pengajaran.

Kaedah penggunaan silibus ketika ini adalah dengan mengkaji keberkesanan selepas satu pusingan.

Katanya, satu pusingan ini bermaksud apabila murid itu masuk darjah satu dengan silibus tersebut, dia akan habis darjah enam dengan pendekatan silibus yang sama.

Jelas beliau, kelompok darjah satu 2017 merupakan kohort pertama silibus itu dan mereka pada waktu ini berada pada tahun enam.

“Jadi, silibus 2017 selesai pusingannya pada tahun ini untuk sekolah rendah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button