Berita UtamaDunia

Australia batal keputusan iktiraf Baitulmaqdis ibu negara Israel

Kedutaan sentiasa kekal di Tel Aviv

SYDNEY, 21 Rabiulawal 1444H, Selasa – Australia hari ini menarik balik pengiktirafan kerajaan terdahulu yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Menteri Luar, Penny Wong selepas mesyuarat Kabinet berkata, Australia kekal sebagai rakan setia Israel dan penyokong teguh rakyat Palestin.

“Hari ini, kerajaan telah mengesahkan pendirian Australia sebelum ini dan sejak sekian lama bahawa Baitulmaqdis adalah isu status muktamad, yang harus diselesaikan sebagai sebahagian daripada sebarang rundingan damai antara Israel dan rakyat Palestin.

“Kedutaan Australia sentiasa berada dan kekal di Tel Aviv,” katanya.

Pada penghujung tahun 2018, kerajaan Scott Morrison ketika itu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Ia berikutan keputusan bekas pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis Barat.

Senator Wong mendakwa Scott Morrison bermain politik atas keputusan itu.

“Saya rasa kita semua tahu apabila melihat sebahagian daripadanya secara terbuka bahawa keputusan 2018 meletakkan Australia terkeluar dengan majoriti masyarakat antarabangsa.

“Ia diterima dengan penuh kebimbangan oleh anggota masyarakat antarabangsa.

“Anda tahu apa ini? Ini adalah permainan sinis, tidak berjaya, untuk memenangi kerusi Wentworth dan pilihan raya kecil,” dakwanya.

Morrison pada masa itu menafikan bahawa keputusan itu bertujuan memenangi pengundi Yahudi di kerusi berkenaan, yang akhirnya tewas kepada calon bebas, Kerryn Phelps. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button