Russia-Ukraine tukar banduan secara besar-besaran
Pertukaran pertama babitkan tahanan wanita

KYIV, 21 Rabiulawal 1444H, Selasa – Moscow dan Kyiv telah melaksanakan pertukaran banduan secara besar-besaran membabitkan 218 tahanan termasuk 108 wanita Ukraine.
Ketua Pejabat Presiden Ukraine Andriy Yermak berkata, pertukaran berkenaan turut melibatkan 12 orang awam yang dibebaskan semalam.
“Satu pertukaran tawanan perang secara besar-besaran telah dilakukan hari ini.
“Kami juga membebaskan 108 wanita dan merupakan pertukaran pertama melibatkan tahanan wanita,” katanya Yermak menerusi Telegram.
Seramai 37 wanita telah ditahan selepas tentera Russia menawan bandar Mariupol, Mei lalu, sebuah kawasan pelabuhan di Laut Azov, tenggara negara tersebut.
Menerusi imej yang dikeluarkan menyaksikan puluhan wanita yang menjadi tahanan menuruni sebuah bas ketika proses pembebasan.
Tahanan paling tua adalah seorang wanita berusia 61 tahun manakala paling muda adalah wanita berusia 21 tahun, kata penyelaras ibu pejabat untuk rawatan banduan peperangan.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Russia mengesahkan pertukaran banduan melibatkan 110 penduduk Russia yang dibebaskan termasuk 72 pelaut yang ditahan sejak Februari lalu.
Kesemua akan diterbangkan ke Moscow dan diberikan bantuan perubatan dan kaunseling.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri Ukraine pula menjelaskan beberapa wanita yang dibebaskan adalah tahanan yang dipenjara sejak 2019 selepas ditahan pihak berkuasa pro-Moscow di wilayah timur negara tersebut. – Agensi