Berita Utama

Aminuddin ambil risiko masuk politik demi angkat suara rakyat

Minta diberi ruang ubah senario politik dianggap kotor

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 22 Rabiulawal 1444H, Rabu – Menyedari betapa sukar suara rakyat didengari atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Haji Aminuddin Yahaya terpaksa mengambil langkah berani menyertai politik meskipun menerima kritikan daripada pelbagai pihak.

Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu tidak menafikan bukan mudah untuk beliau mengambil keputusan berkenaan, apatah lagi apabila ramai rakan dan pengikutnya terkilan pembabitannya dalam arena politik.

Beliau yang sudah 40 tahun bersama dunia NGO dan gerakan sivil turut mengakui pernah menganggap politik sebagai suatu yang kotor.

“Ya, memang politik itu kotor tetapi sebenarnya yang mengotorkan politik adalah individu yang terlibat di dalam politik, bukan politik kerana ia sebahagian daripada Islam.

“Islam mementingkan kepimpinan, kerana tanpa kepimpinan yang baik maka negara kita akan terus dilanda kerosakan dan kemusnahan,” katanya dalam temubual Kerusi Panas di TV Pertiwi, hari ini.

Bagaimanapun, kerja kerasnya di dalam NGO selama berpuluh tahun untuk mengangkat suara rakyat hanya dipandang sepi oleh pemerintah, sekali gus mendesak diri beliau untuk menyertai dunia politik dan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Aminuddin berpendirian bahawa kedudukan di luar daripada dunia politik tidak akan mampu mengubah kekotoran yang ada, bahkan negara bakal terus dibiarkan kepada ‘tangan’ yang korup dan menyeleweng.

“Sebab itu saya dan rakan-rakan yang mewakili NGO masing-masing bergerak di atas Gagasan Bangsa bersama untuk membawa satu pendekatan politik yang baharu, yang dikatakan politik tanpa kepartian.

“Ini bagi saya satu cabaran besar untuk kami. Ya, memang bukan mudah, tetapi kalau tidak cuba kita tidak tahu dan kami sudah berbincang andai kata kedudukan parti hari ini tidak memberi ruang pada kami bersuara, kita akan berundur dalam politik,” katanya.

Tegas beliau, prinsip itu jelas kerana pembabitan Gagasan Bangsa di dalam politik bukan kerana gilakan kuasa atau mengaut harta, sebaliknya mahu suara NGO serta rakyat didengari oleh kepimpinan negara.

“Sebab itu saya mengambil risiko, saya faham ada rakan dan pengikut saya marah bila saya libatkan diri dalam politik, tetapi saya mengambil setelah berbincang dengan ramai pihak bahawa langkah ini demi mengangkat suara rakyat dan NGO.

“Kita tiada pilihan lain selain terpaksa memperjuangkan kepimpinan negara bersama. Saya harap pihak yang mengkritik dapat memberi ruang dan peluang untuk kami mencorakkan politik ini,” katanya.

Tonton Kerusi Panas;

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button