Berita Utama

Gerakan Zionis bertopeng hak asasi manusia sedang berkeliaran

Pemimpin perlu bersatu jaga keselamatan negara walau berlainan politik

BANGI, 22 Rabiulawal 1444H, Rabu – Pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) demi keselamatan rakyat yang cintakan agama, bangsa dan tanah air.

Langkah itu bagi memastikan kita semua terselamat daripada segala serangan musuh dan pengkhianat.

Presiden PERKID, Ustaz Masridzi Sat menyuarakan saranan berkenaan susulan akhbar tempatan melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, Mossad di Malaysia.

Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia dikatakan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.

Laporan tersebut turut menyatakan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dipercayai dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis sebelum direkrut oleh ejen Mossad sebelum tahun 2018 dan disyaki menjadi dalang kepada rangkaian perisikan Israel di dalam negara.

Bimbang dengan perkara itu, Ustaz Masridzi menggesa pihak berkuasa bertindak sebelum terlambat.

“Isu pencerobohan pesawat asing, kemasukan 1.2 juta warga asing yang masuk dalam negara tapi gagal dikesan, gerakan Zionis yang banyak bertopeng di atas nama hak asasi manusia dan lain-lain sedang berkeliaran di dalam negara kita.

“Ia perlu kepada para pemimpin dan kerajaan yang kuat, bersatu menjaga kedaulatan negara walaupun berlainan politik, tegas dan berani menyekatnya serta menghapuskan gerakan musuh.

“Bahkan berintegriti dan tidak terjebak dengan umpan rasuah. Bertindaklah sebelum terlambat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada jabatan, agensi dan pasukan keselamatan yang berjaya menangkap pihak berkenaan.

“Namun rangkaian mereka sudah bergerak begitu lama dan pasti ada banyak lagi yang didalangi oleh pemimpin tertentu yang berpengaruh seperti juga militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan komunis,” katanya.

Pautan berkaitan;

Mossad Israel rekrut rakyat Malaysia culik anggota Hamas


https://ismaweb.net/2022/10/18/1wanita-malaysia-jadi-pengintip-mossad-israel/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button