Jangan biarkan negara jadi medan operasi jahat Mossad
Tubuh pasukan khas dalami strategi ejen perisikan Israel

BANGI, 22 Rabiulawal 1444H, Rabu – Malaysia tidak boleh dibiarkan menjadi medan operasi pengintipan jahat mana-mana pihak, apatah lagi oleh rejim haram seperti Israel yang tidak diiktiraf oleh negara.
Justeru, adalah kritikal untuk pihak berkuasa meneliti dan menyiasat saluran serta ‘entry window’ yang membolehkan operasi sedemikian menyelinap masuk, bertapak serta beroperasi di dalam negara ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penglibatan ramai warga tempatan yang tidak bertanggungjawab dalam sindiket ini menuntut kita untuk bukan sahaja memberikan mereka hukuman yang tegas dan keras.
Bahkan, pasukan khas mesti dibentuk dengan segera untuk meneliti dan mendalami taktik serta strategi Mossad mendekati dan melatih orang tempatan.
“Sudah pasti semua ini tidak berlaku dengan mudah melainkan mereka benar-benar memahami ekosistem dan pendekatan keselamatan dalam negara kita.
“Pihak kerajaan mesti melihat isu ini secara serius dan menjelaskannya kepada masyarakat. Kita bukan sahaja ingin menjawab kekeliruan dan mengetahui perkara sebenar. Tetapi ia juga boleh menjadi amaran serta meningkatkan kesedaran orang awam berhubung jenayah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih membimbangkan, Khaled berkata, perkara ini dikatakan bukanlah sesuatu yang baharu.
“Susulan itu, saya secara peribadi dan UMNO secara amnya percaya wujud keperluan untuk Kerajaan Malaysia khususnya, antara lain, Kementerian Dalam Negeri tampil membuat penjelasan yang lengkap berhubung perkara ini.
“Sudah pastilah isu ini menimbulkan kebimbangan dan kegusaran dalam kalangan banyak pihak. Ia bukan sahaja isu keselamatan. Malah, ini sebetulnya isu kedaulatan dan maruah negara,” katanya.
Terdahulu, akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times (NST) dalam laporannya mendakwa ejen Mossad sudah memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam.
Memetik laporan itu, Mossad dipercayai merekrut aset tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin di ibu negara, baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kasim berkata, setakat ini, siasatan masih dijalankan berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, polis tidak dapat mengesahkan terdapat membabitan agensi perisikan luar dalam kejadian penculikan lelaki Palestin di Jalan Mayang di ibu negara pada 28 September lalu seperti dilaporkan akhbar tersebut.