Langkah Sheraton mungkin berulang pasca PRU15
Pertembungan lebih 3 penjuru pecah undi Melayu-Islam

BANGI, 22 Rabiulawal 1444H, Rabu – Tidak mustahil episod sama dalam Langkah Sheraton boleh berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, memandangkan tiada parti mampu menang solid bagi membentuk kerajaan stabil.
Apatah lagi, pertembungan tiga penjuru atau lebih akan menyukarkan mana-mana parti sama ada UMNO-Barisan Nasional (BN) atau PAS melalui Perikatan Nasional (PN) memenangi sesuatu kerusi Parlimen ekoran bakal berlaku pecah undi orang Melayu-Islam.
Penganalisis politik, Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, kerjasama politik selepas PRU15 pasti tidak dapat dielakkan kerana UMNO-BN dilihat tidak sekuat dahulu untuk menjadi dominan seperti sebelum PRU14.
Malah, parti lain termasuk PN atau Pakatan Harapan (PH) juga dilihat berdepan situasi hampir sama, katanya.
“Akhirnya, satu kerjasama politik terpaksa dilakukan bagi membentuk kerajaan campuran seperti yang berlaku selepas PRU14 yang mana, Langkah Sheraton juga gagal mewujudkan kerajaan yang benar-benar solid.
“Dalam hal ini, sokongan parti gabungan dari Sabah dan Sarawak amat diperlukan untuk mengukuhkan sesuatu kerajaan campuran seandainya tiada parti mampu meraih majoriti mudah pasca PRU15,” katanya.
Menulis di Berita Harian hari ini, Dr Nur Ayuni berkata, perselisihan antara parti selain terlalu banyak parti berteraskan Melayu-Islam bertanding pada PRU15 nanti, dibimbangi sekadar mengulangi sejarah pilihan raya umum 2018.
Beliau berkata, keegoan parti berteraskan Melayu-Islam yang enggan bersatu sebelum PRU15 mungkin memberi kelebihan kepada PH.
“Kegagalan membentuk kerjasama politik sebelum pilihan raya turut mengakibatkan kekeliruan kepada pengundi atas pagar dan pengundi baharu membuat keputusan, sekali gus mengurangkan peluang untuk kerajaan Melayu-Islam kembali berkuasa.
“Jika pembentukan kerjasama politik dapat dilakukan sebelum pilihan raya, maka banyak perbezaan dapat diselesaikan, sekali gus memudahkan pengundi membuat keputusan,” katanya.
Langkah Sheraton menyaksikan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh dan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.
Krisis politik ini memperlihatkan kejatuhan kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) – , yang hanya mampu bertahan selama 22 bulan sahaja.