Penularan wabak taun di Lubnan membimbangkan
70 peratus kes dikesan dari kem pelarian

BEIRUT, 23 Rabiulawal 1444H, Khamis – Menteri Kesihatan Lubnan, Firas Abiad bimbang terhadap penularan pantas wabak taun di negara itu, sekali gus menggesa pertubuhan antarabangsa meningkatkan sokongan bagi membendung penyakit berkenaan.
Kementerian Kesihatan Awam yang memetik Abiad sebagai berkata, kira-kira 70 peratus kes taun dikesan dari kem pelarian.
Bagaimanapun katanya, peningkatan jumlah jangkitan baru-baru ini muncul dalam kalangan warga Lubnan.
Abiad mengaitkan penularan jangkitan taun berpunca daripada air tercemar dan hubungan rapat dengan individu yang dijangkiti.
Katanya, kementerian menyediakan hospital lapangan di Arsal, manakala lapan hospital lapangan tersedia untuk pengagihan bekalan perubatan.
Menurut kementerian, sejak kes taun pertama dikesan di Lubnan pada 6 Oktober, jumlah keseluruhan kes itu mencecah 169 sehingga Rabu, dengan lima kematian dilaporkan.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Isnin lalu, mengumumkan telah membangunkan pelan tindak balas bersama, dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Awam Lubnan bagi mencegah dan membendung wabak taun di Lubnan.
Sejak 8 Oktober lalu, UNICEF juga telah mengedarkan bekalan perubatan kecemasan untuk merawat taun, termasuk 150,000 garam rehidrasi oral dan 50 kit rawatan taun. – Agensi