Berita UtamaIstimewa

PRU15: Media sosial jadi ‘warung kopi’ pengundi muda

Rugi besar jika calon tak aktif atau ikut arus semasa

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 23 Rabiulawal 1444H, Khamis – Jika dahulu warung kopi antara medium untuk calon pilihan raya bertemu mata dengan rakyat dan meraih undi, kini perubahan serta perkembangan teknologi perlahan-lahan mengubah pendekatan berkenaan.

Seiring dengan situasi terkini, aplikasi media sosial kini mula mengambil tempat sebagai capaian utama untuk berkempen, khususnya bagi meraih undi golongan muda.

Menurut penganalisis politik, Dr Mazlan Ali, aplikasi media sosial seperti TikTok, Twitter dan Facebook dijangka menjadi penghubung utama kepada generasi milenium ini kerana capaian meluas tanpa batasan umur.

“Kalau dulu warung kopi dan ceramah adalah medium utama untuk menghimpunkan pengundi dan berkempen tetapi kini aplikasi TikTok dan Twitter adalah pilihan utama bagi generasi muda yang berusia awal 30 tahun-an.

“Begitu juga Facebook yang dicapai golongan berusia 30 hingga 40-an untuk mereka mendapatkan maklumat dan pengetahuan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, kategori pengundi muda kita tidak terpisah dengan gajet, sekali gus menyebabkan mereka terdedah mendapatkan maklumat di hujung jari menerusi aplikasi yang diminati.

Justeru, Dr Mazlan menyifatkan calon pilihan raya yang tidak aktif di media sosial dan gagal mengikut arus itu berdepan kerugian besar untuk menarik pengundi muda.

“Orang muda hari ini cepat bosan, jadi penyebaran maklumat juga perlu diselarikan dengan keadaan terkini seperti melalui aplikasi media sosial dan aktiviti-aktiviti lasak yang boleh hidangkan mereka secara mudah dan jelas.

“Tidak perlu lagi diberikan maklumat panjang seperti bahan sejarah yang perlu mereka baca, ini yang menjadikan mereka langsung tidak berminat.

“Sebaliknya sediakan bahan yang mudah dan berfakta bagi mereka memahami dengan mudah,” katanya.

Tiga kategori pengundi muda

Mengulas lanjut, Dr Mazlan berkata, pengundi muda hari ini terbahagi kepada tiga kategori yang akan membuat keputusan untuk menentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mereka ini terdiri daripada kategori ‘participant’ yang terdiri daripada golongan muda yang berpelajaran dan mempunyai pendirian dan faham tentang keadaan politik negara.

“Kategori kedua pula adalah dikenali katogori ‘subjek’ di mana pengundi ini lebih terpengaruh dan akur dengan persekitaran dan pengaruh ibu bapa,” katanya.

Bagaimanapun, kelompok itu berbeza dengan kategori ketiga yang dikenali sebagai ‘paroki’ iaitu pengundi muda tidak berpendirian dan mudah dibeli melalui dorongan serta wang ringgit.

Dijangkakan 21.1 juta pengundi berdaftar dan sebahagian daripada jumlah berkenaan membabitkan pengundi muda menerusi pendaftaran automatik pada PRU15 ini.

PRU15 ditetapkan pada 19 November depan, dengan 5 November sebagai penamaan calon dan 15 November pula hari pengundian awal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button