Berita Utama

GTA dijangka raih lebih manfaat dari kerjasama PN

Kehendak, paksaan politik mungkin dorong dua gerakan gabung

BANGI, 23 Rabiulawal 1444H, Khamis – Gerakan Tanah Air (GTA) diramal meraih banyak manfaat sekiranya bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November depan.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berpandangan kerjasama itu kemungkinan besar berlaku dan sejarah lampau membuktikan Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh bekerjasama dengan musuhnya.

Semua itu dengan satu matlamat untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN), katanya.

“Walaupun dibelenggu dengan kisah Langkah Sheraton, stigma tikam-menikam dan pengkhianatan, namun kedua-dua gabungan itu tidak boleh bergerak sendiri.

“Kemungkinan kerjasama ini berlaku amat tinggi kerana ia adalah kehendak atau paksaan politik. Mereka memerlukan gabungan ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Pada masa sama, Dr Azmi berpandangan GTA akan lebih meraih manfaat berbanding PN dalam kes berkenaan.

“Walaupun statistik sokongan pengundi kepada parti Pejuang begitu rendah, namun PN mampu memberi pertolongan dan manfaat kepada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, dari segi persepsi, pengundi akan berfikir kedua-dua gabungan itu mungkin sanggup melakukan apa saja demi kelangsungan politik masing-masing.

Sebelum ini, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gerakan itu sedang menilai kemungkinan mempertimbangkan kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15.

Dr Mahathir berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin jika gabungan itu sependapat dengan GTA serta tidak terbabit dengan perkara yang bertentangan dengan dasar dan prinsipnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button