Berita Utama

RM1.01 bilion kos dianggar untuk PRU15, PRK Bugaya

Pengundi boleh semak maklumat undi mulai 31 Oktober

PUTRAJAYA, 23 Rabiulawal 1444H, Khamis – Dianggarkan sebanyak RM1.01 bilion peruntukan diperlukan untuk pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang ditetapkan pada 19 November depan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),  Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung PRU15 di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai 21,173,638 pemilih yang terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa dan 146,737 anggota tentera serta pasangan.

Katanya, jumlah itu juga membabitkan 118,794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 pengundi tidak hadir luar negara.

“Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Semakan boleh dibuat mulai 31 Oktober 2022 (Isnin),” katanya.

Terdahulu, Abdul Ghani mengumumkan ketetapan tarikh-tarikh penting bagi PRU15 dengan 5 November sebagai penamaan calon dan 15 November pula untuk hari pengundian awal.

PRU kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, sementara hanya 116 kerusi DUN di tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Perlis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button