Pemimpin Melayu ejen kepada punca tanah Melayu tergadai
Syor wujud Bank Tanah halang pemilikan tanah orang Melayu ke pihak lain

BANGI, 24 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Sikap pengkhianat dalam kalangan pemimpin Melayu yang berperanan sebagai ejen adalah punca banyak tanah orang Melayu tergadai.
Sikap tidak bertanggungjawab yang memikirkan tentang keuntungan sendiri dipercayai menjadi punca kampung-kampung Melayu tradisional semakin menghilang.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Dr Yussof Latif berkata, golongan pemimpin ini wajar dikenakan tindakan tegas kerana menyebabkan sejarah dan warisan negara terhakis sehingga meninggalkan nama sahaja.
“Buat masa ini muafakat perlu ditegakkan supaya kampung Melayu terus dikekalkan.
“Saya ingin merumuskan supaya orang-orang Melayu jangan berbalah sesama sendiri, sebaliknya hendaklah muafakat untuk menegakkan kampung Melayu yang ada.
“Jangan ada lagi broker Melayu yang menjual tanah Melayu, perbuatan ini perlu disedarkan untuk diambil tindakan tegas, mereka sebenarnya pengkhianat bangsa Melayu,” katanya ketika menjadi panel pada Siri Randau ke-15 anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Mengulas lanjut, Dr Yussof berpandangan, kemiskinan juga adalah antara faktor utama yang mendorong orang Melayu menjual tanah milik mereka.
“Malah, kajian Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk mendapati, purata pendapatan per kapita kumpulan etnik pada 2004 menunjukkan kaum Bumiputera memperoleh RM2,856.
“Keadaan tersebut jelas membuktikan pendapatan per kapita orang Melayu jauh ketinggalan dengan kaum-kaum lain di negara ini terutama Cina yang memperoleh pendapatan sekitar RM4,268,” katanya.
Menurutnya, hakikat kini kebanyakan orang Melayu di bandar tersenarai dalam kategori miskin tegar.
“Situasi berkenaan menyebabkan mereka mudah ditipu dengan kilauan wang sehingga tidak dapat memikirkan tentang masa depan keluarga dan bangsa,” katanya lagi.
Atas dasar itu, PEMENANG mencadangkan supaya sebuah Bank Tanah dapat diwujudkan segera kerana diyakini mampu berperanan sebagai pembeli tanah-tanah orang Melayu dalam usaha menghalangnya jatuh ke tangan pihak lain.