Berita Utama

Idea gabungan GTA-PN perlu dibincang segera

Penyatuan undi jalan akhir rakyat boleh hantar calon wibawa ke Parlimen

BANGI, 24 Rabiulawal 1444H, Jumaat –  Pemuda BERJASA menyokong penuh idea gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Justeru, Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan menyarankan kedua-dua gerakan berkenaan mengadakan perbincangan segera memandangkan masa semakin suntuk berikutan tarikh penamaan calon dan mengundi sudah pun diumumkan.

Beliau berkata, sekali pun perbincangan di peringkat pusat tidak dapat dilakukan, sekurang-kurangnya kesepakatan itu boleh digerakkan di peringkat Parlimen.

“Gerakan menyatukan undi Melayu Islam adalah sesuatu yang penting, kalau nak difatwakan hukum memang ada tuntutan di situ.

“Matlamat agama dan maslahah ummah jika diperkirakan dengan situasi getir politik negara, kerajaan perlu digantikan dengan diketengahkan individu yang lebih kompeten dan berwibawa untuk memimpin negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fahmi berkata, memandangkan negara dan kerajaan yang terpilih bakal berdepan krisis ekonomi global, maka sudah tentu banyak polisi serta dasar yang akan diperkenalkan dengan cepat dan tuntas.

“Saya mengharapkan tiada lantikan menteri dengan kepentingan peribadi dan politik. Mesti pakar dan individu berpengalaman yang akan menerajui negara.

“Wakil-wakil rakyat boleh fokus kepada perbincangan dan perbahasan usul bagi mencari solusi kepada masalah rakyat.

“Jadi penyatuan undi adalah jalan terakhir untuk rakyat berjaya menghantar calon-calon berwibawa ke Parlimen,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gerakan itu sedang menilai kemungkinan mempertimbangkan kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15.

Dr Mahathir berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin jika gabungan itu sependapat dengan GTA serta tidak terbabit dengan perkara yang bertentangan dengan dasar dan prinsipnya.

Berita berkaitan;

Kerjasama GTA-PN mampu jadi wadah politik era baharu

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button