Berita Utama

Undi pengundi muda mampu ubah corak kepimpinan negara

Janganlah boikot atau pulau peluang terbuka ini, kata Ku Li

BANGI, 24 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Pemilih muda yang bakal mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disaran untuk menjalankan tanggungjawab dan memilih pemimpin yang betul.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, undi pengundi muda mampu mencorakkan kepimpinan dan pemerintahan negara.

Justeru, beliau mengharapkan anak muda menggunakan peluang yang ada bagi memilih pemimpin, sekali gus dapat mencorakkan semula pemerintahan negara.

“Saya harap ramai anak muda mengambil peluang keluar mengundi beramai-ramai nak tukar atau mencorakkan semula pemerintahan negara.

“Kalau kita nak kepada mereka yang kita rasa yakin memberi pemerintahan yang baik, jadi saya harap janganlah kita boikot atau pulau peluang yang terbuka ini,” kata dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Gua Musang turut berharap pengundi muda membuat keputusan yang tepat dan memilih pemimpin yang mampu memberi khidmat kepada rakyat dan memikul amanah.

“Guna kesempatan ini (PRU15), kalau kita tak suka kepada seseorang tak perlu undi dia.

“Cari dan pilih yang lain tetapi jangan sia-siakan peluang ini yang sudah diberi kepada kita… gunakan kesempatan ini sebaik mungkin,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15 manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button