Berita Utama

Calon patut faham elemen rasuah dalam kempen PRU15

Fahami elemen salah guna kuasa bawah AKPR 1954, Akta SPRM

BANGI, 25 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Calon dalam semua parti politik digesa untuk memahami kesalahan-kesalahan berkaitan aktiviti kempen pilihan raya, khususnya yang berunsur rasuah.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, elemen salah guna kuasa yang digariskan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR 1954) dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) juga perlu difahami setiap bakal calon.

“Peruntukan yang diperlukan sudah wujud dalam undang-undang sedia ada bagi membolehkan SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap amalan rasuah dan salah guna kuasa menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November depan.

“AKPR 1954 menyatakan dengan jelas semua bentuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa iaitu Seksyen 8 (penjamuan), Seksyen 9 (pengaruh tidak wajar), Seksyen 10 (rasuah) semasa atau selepas tempoh pilihan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, akta itu memperuntukkan hukuman yang berat termasuk boleh dipenjara sehingga hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan hak mengundi.

Katanya, hukuman berkenaan jika dikuatkuasakan akan menakutkan bakal-bakal calon pilihan raya, bahkan boleh menjejaskan masa depan ahli politik yang terbabit dalam kesalahan tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button